Laman web rasmi SMK Agama Sibu ini telah mula dibina dan dilancarkan ke dalam talian web pada 30 April 2004 atas arahan rasmi daripada Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengarahkan agar semua SMKA di seluruh Malaysia melantik dan menghantar seorang penyelaras web bagi SMKA masing-masing untuk mengikuti kursus pembinaan laman web SMKA.
Bagi Zon Sabah dan Sarawak, penyelaras laman web telah dihantar mengikuti kursus "Kursus Peningkatan Kemahiran Komputer Kepada Penyelaras Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Zon Sabah dan Sarawak" pada 26-30 April 2004 di Hotel Mega, Miri, Sarawak. SMK Agama Sibu telah menghantar En Yaakub Bin Ismail untuk mengikuti kursus tersebut dan seterusnya bertugas sebagai penyelaras laman web rasmi sekolah. Dalam kursus tersebut, semua penyelaras laman web telah diberi tunjuk ajar cara membina laman web sekolah menggunakan perisian Macromedia Dreamweaver dan perisian Adobe Photoshop. Pada awalnya, semua laman web SMKA adalah mengikut format rasmi yang telah diberikan oleh pihak penganjur. Itulah sebabnya, semua laman web rasmi SMKA di seluruh Malaysia kelihatan hampir serupa kecuali isi kandungannya sahaja. Penyelaras laman web yang telah berjaya menamatkan kursus dianugerahkan sijil penyelaras laman web sebagai bukti menjadi penyelaras laman web rasmi sekolah masing-masing.
Pada tahun 2005, penyelaras laman web SMKA Zon Sabah dan Sarawak, telah diberikan kursus "Kursus Fotografi dan Penulisan Berita" di Hotel Seafest, Semporna, Sabah untuk mempertingkatkan lagi mutu laman web sekolah masing-masing. Penyelaras laman web didedahkan cara mengambil gambar foto yang berkualiti mengikut cara jurugambar akhbar. Selain itu, penyelaras laman web juga didedahkan cara menulis berita mengikut format Dewan Bahasa dan Pustaka. SMK Agama Sibu telah menghantar En Yaakub Bin Ismail untuk mengikuti kursus tersebut dan seterusnya bertugas sebagai penyelaras laman web rasmi sekolah bagi tahun 2005.
Laman web rasmi SMK Agama Sibu ini telah banyak mengalami evolusi penambahbaikan dari masa ke semasa. Banyak kelemahan diperbaiki, walaupun ia tidak kelihatan secara zahirnya. Penambahbaikan banyak melibatkan komponen dalaman struktur laman web yang tidak dapat dilihat secara zahir. Penekanan lebih diberikan terhadap kandungan maklumat yang terdapat di dalam laman web.
Pada 01-04 Mei 2006, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia telah menganjurkan kursus "Kursus Pembinaan Laman Web SMKA Sabah dan Sarawak 2006" bertempat di Berjaya Palace Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. SMK Agama Sibu telah menghantar En Yaakub Bin Ismail untuk mengikuti kursus tersebut. Dalam kursus tersebut, penyelaras laman web SMKA telah diberi tunjuk ajar cara membina laman web menggunakan perisian "Macromedia Flash". SMK Agama Sibu turut mempertingkatkan mutu laman web sekolah dengan menggunakan active-X flash. Hasil gabungan penggunaan perisian yang berbeza telah menjadikan laman web SMK Agama Sibu unik dengan kombinasi teknologi yang terkini.
Kemudiannya pada 09-12 Oktober 2006, semua penyelaras laman web SMKA di Malaysia dijemput berkampung dalam "Mesyuarat Penyelarasan dan Pemantapan Laman Web SMKA Bil 2/2006" bertempat di Kondo Istana, Langkawi, Kuah, Kedah anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia. SMK Agama Sibu telah menghantar En Yaakub Bin Ismail untuk menghadiri mesyuarat ini. Mesyuarat ini bertujuan menyelaras dan memantapkan lagi laman web SMKA di Malaysia. Peluang ini juga diambil untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kesemua 55 orang webmaster SMKA daripada seluruh negara. Mesyuarat ini telah diadakan pada bulan ramadhan, oleh itu, ia telah memberi peluang kesemua 55 orang webmaster SMKA untuk berbuka puasa bersama-sama. Peluang sebegini jarang diperolehi. Webmaster-webmaster bertukar pendapat dan cadangan untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Pada 05-08 Mac 2007, penyelaras laman web daripada SMKA Zon Sabah dan Sarawak telah bermesyuarat buat kali pertamanya bagi tahun 2007 dalam Mesyuarat Penyelarasan Laman Web SMKA di Hotel Holiday Inn, Kuching, Sarawak. Mesyuarat ini telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk menyelaras kandungan laman web SMKA masing-masing. Dalam mesyuarat ini juga, semua webmaster SMKA telah diajar cara menghasilkan laman web PHP dan cara menyediakan server APACHE bagi menghasilkan laman web dinamik. |